Hari ini genaplah usiaku 24 tahun iaitu pada 30hb November 2003.
Tapi hatiku rasa tidak keruan, puasku berfikir kenapa agaknya. Sedangkan
pada tahun-tahun sebelumnya aku tidak pernah berperasaan begini. Lagi
membuatkan aku rasa kecewa ialah pada saat-saat hari gembiraku ini orang
yang paling kusayangi sudah melupai tarikh ulangtahunku.
Puas sudah kumenunggu panggilan darinya. hingga membuatkan aku
tertanya-tanya kenapa dia tidak mahu menelefonku. Aku bukannya
mengharapkan apa -apa cuma sekadar ucapan darinya. Itupun sudah cukup
memadai bagiku. Memang aku akui aku dan dia memang jarang bertemu kerana
aku di K.L manakala dia pula di Pantai timur. Jarak antara K.L dan
Kelantan membataskan pertemuan kami tetapi itu tidak menghalang
percintaan kami. Malah ikatan kasih sayang itu semakin bertambah dan
sentiasa dibajai dengan perasan dimiliki dan ingin dimiliki.
Sedang aku termanggu sendirian, tiba – tiba aku dikejutkan dengan
deringan telefon. Alangkah gembiranya hatiku apabila mendengar suaranya
ditelefon. Kurasakan penantianku berhasil. Jika dia berada didepanku
ingin aku mendakapnya sebagai tanda terima kasihku. Tetapi suara hatiku
berkata kenapa baru sekarang dia hendak menelefonku.Argh… persetankanlah
dengan semua ini. Asalkan dia sudah menelefon itu sudah mencukupi.
Tetapi segala apa yang kuangankan umpama kaca terhempas ke batu. Bukan
ucapan ‘selamat hari lahir’ yang terungkap di bibir mungilnya tetapi dia
hanya menyatakan bahawa dia tidak dapat meneruskan perhubungan kami
lagi. Dan dia mendoakan agar aku tabah menghadapi hari-hari yang
mendatang. Ya Allah ujian apakah ni. Begitu mudah sekali dia
memutuskannya. Tidakkah dia tahu yang aku benar-benar menyintainya.
Hampir 4 tahun usia percintaan yang kami bina dan dia dengan mudah
sekali melafazkan kata perpisahan. Sedangkan selama ini dia tahu aku
bertungkus lumus berusaha mengumpulkan wang. Ini semata-mata kulakukan
untuk menyuntingnya suatu hari nanti.
Puasku memujuknya agar memberitahuku apakah kesalahan yang telah
kulakukan sampaikan dia sanggup berbuat demikian. Akhirnya dengan rasa
sebak dan terharu dia menyatakan bahawa dia terpaksa mengikut kehendak
kedua orang tua dan keluarganya. Dimana dia akan dijodohkan dengan ahli
saudara terdekatnya.
Bagaikan gelap kurasakan duniaku ini. Tambah pilu hati ini lagi
apabila aku mendengar suaranya yang tidak henti-henti menangis . Kalau
diikutkan hati mahu sahaja aku ke Kelantan untuk menemuinya. Tetapi
apakan dayaku.
Aku benar-benar bingung ketika itu dan tidak tahu kepada siapakah
untuk aku meluahkan perasaan yang berserabut ini. Ingin sahaja aku
curahkan segala rasa hatiku kepada kedua ibubapaku, tetapi aku tidak
sampai hati kerana selama ini mereka berharap agar aku dan dia akan
bersatu. Di saat-saat ini barulah aku terfikir alangkah baiknya
sekiranya aku mempunyai seorang kakak. Bolehlah aku meminta
pandangannya. Hanya insan yang bernama wanita jualah yang lebih mudah
memahami soal hati dan yang melibatkan perasaan kerana jiwa wanita ini
amat halus dan penuh perasaan sentimental.
Hari-hari yang kulalui terasa kosong, hambar dan hilang serinya.
Begitu jualah yang jelas kelihatan pada raut wajahku. Selama ini aku
memang diketegorikan sebagai seorang yang terkenal dengan sikap periang.
Tetapi semenjak kebelakangan ini aku mula bertukar watak malah sering
bermurung. Bagiku sudah tidak ada makna lagi. Semenjak peristiwa itu aku
telah berazam tidak mahu melibatkan diri lagi dalam soal percintaan.
Hatiku telah tertutup rapat untuk mana-mana wanita. Aku sendiri pun
tidak pasti sampai bilakah ianya akan terubat. Aku juga tidak mahu orang
lain menyedari akan perubahan yang berlaku ke atas diriku. Segala susah
payah biarlah ku sendiri yang menanggungnya. Bak kata pujanga “Berat
mata memandang berat lagi bahuku yang memikulnya.
Ku ingatkan aku boleh bertahan tapi rupanya aku masih belum kuat lagi
untuk menerima ini semua. Ku buangkan segala perasaan maluku, pernah ku
menangis di hadapan 2 0rang sahabatku. Mereka jua pernah mengatakan
yang mereka tidak sampai hati melihat keaadan aku dan takut ianya akan
menjejaskan kerjayaku. Malah mereka berdualah yang banyak memberi ku
perangsang dan semangat untuk aku terus bangun dari diselimuti oleh
perasaan gundah gulana sepanjang masa. Terima kasih kalian berdua “kak
jujie dan Kak shiba”.
Berkat sokongan dan dorongan dari mereka aku telah membulat tekad
bahawa aku akan cuba sedaya upayaku untuk memilikinya. Bak kata pepatah
“alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan”.
Berbekalkan semangat inilah aku meminta kedua ibu bapaku masuk meminang
si dia. Walaupun aku sedia maklum bahawa sidia bakal dijodohkan dengan
orang lain. Tetapi kurasakan yang aku masih lagi mempunyai peluang.
Sedangkan orang yang sudah berkahwin pun boleh bercerai. Inikan pula si
dia yang baru hendak dijodohkan dengan orang lain. Bak kata orang ” the
best man win”.
Pada mulanya kedua ibu bapaku enggan menurut kehendakku tetapi
disebabkan aku beria-ia akhirnya mereka mengalah. Terima kasih buat emak
dan ayah. Setelah mencapai kata putus. Ibu bapaku berbincang dengan
kedua ibu bapa si dia mengenai hasrat hatiku. Walaupun hanya berbicara
melalui telefon, akhirnya mereka bersetuju untuk menerima aku sebagai
sebahagian daripada keluarganya.
Akhirnya, setelah pelbagai dugaan telah kuharungi. Aku dan keluargaku
berangkat ke Kelantan menghantar rombongan meminang. Ku panjatkan
syukur ke hadrat Ilahi, pada tanggal 17/3/2004 cincin pertunanganku
telah selamat disarungkan dijari manisnya. Bahagianya kurasakan disaat
itu. Aku berjanji dengan orang tuanya bahawa aku akan menjaga anaknya
dengan baik serta akan menjadi seorang suami dan ayah yang baik kepada
cucu-cucunya kelak. Insyaalah.
Aku bersyukur pada yang Esa kerana telah memakbulkan doaku selama
ini. aku juga berharap agar perhubungan ini akan terus berkekalan hingga
ke akhir hayat. Walau sebesar mana pun gelombang yang melanda aku
berjanji akan cuba untuk menempuhinya. Aku akan pastikan orang yang aku
sayangi akan sentiasa berada disisi.
Kepada pembaca, jadikanlah kisahku ini sebagai satu ikhtibar.
Sekiranya kita sayangkan seseorang cepatlah bertindak. Jangan tunggu
sampai sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku, barulah kita akan
menyesal.
No comments:
Post a Comment