Tuesday, 1 May 2012

maafkan ku wahai teman


Sehelai demi sehelai bacaan Al-Mathurat diselak. Setiap doa dibaca perlahan. Makna bacaan tertera di muka surat sebelah, dihayati sebaik mungkin. Memaknakan hari dengan memotivasikan diri daripada doa-doa mathur. Memohon pada Allah sebanyak-banyaknya.
Ketika bersendirian membacanya, hati seringkali melayang teringatkan teman-teman. Mengapa hati dan bukan fikiran? Kerana hati merasa. Wajah-wajah mereka hadir satu persatu di depan mata. Kemudian, terlihat mereka mengukir senyuman seolah-olah menyapa. Aduh, lama benar kita tidak berjumpa. Rindu sekali untuk berbual bicara. Namun, itu semua bayangan. Bayangan yang hadir daripada kenangan. Kenangan kita membaca Al-Mathurat bersama-sama.
Kini, tiada lagi teman-teman yang duduk bersama mengalunkan Al-Mathurat. Duduk dalam satu bulatan. Lutut bersentuhan. Hati terpaut mengalun doa serentak. Itulah rutin sehari-hari ketika menuntut di kolej dahulu. Dua kali sehari, selepas Subuh dan Asar. Di hujung bacaan, salah seorang akan mengetuai bacaan. Bacaan penutup Al-Mathurat. Teman-teman lain menadah tangan mengaminkan.
Ucapan; Maafkan Aku Teman
“Sayang kamu lillahitaala”.
“Uhibukillah ya ukhti”.
Mereka sering mengungkapkan. Melalui tulisan mahupun ucapan. Seringkali mereka juga yang memulakan. Seringkali juga saya kaku memberikan reaksi. Tidak biasa barangkali. Kekok meluahkan.
Kadangkala ucapan mereka tidak terbalas. Bukan tidak hargai, cuma kadangkala dibalas di dalam hati. Segan, malu…..ah……bermacam-macam alasan. Namun, sahabat-sahabat ini tidak pernah jemu. Tidak pernah henti mengucapkan. Mengucapkan tanpa mengharapkan balasan.
Ucapan-ucapan ini tidak dipandang sepi. Dihayati dan dihargai. Samada di kad-kad hari lahir, perbualan di YM sekalipun di pesanan ringkas SMS. Istiqamah mereka menzahirkan rasa cinta buat saudaranya melembutkan jiwa. Kini, saya pula berlumba untuk mengucapkan rasa cinta lebih dahulu daripada mereka.
“Saya sayang kamu lillahita`ala”
Maafkan aku teman, andai ucapan engkau pernah aku abaikan.
Teguran; Maafkan Aku Teman
Pernah anda mendengar kata-kata hikmah, “kerana sayang, kita menegur”. Menegur untuk kebaikan, bukan menjatuhkan! Namun, acapkali kurang diamalkan.
Memberi peringatan secara umum sudah menjadi kebiasaan. Namun, teguran secara peribadi itu kadangkala diperlukan. Teguran ikhlas dari seorang sahabat agar kelemahan diri ditukar menjadi kebaikan. Kebaikan menjadi kekuatan. Begitulah sebaiknya.
“Tolong tegur saya dalam bab pergaulan…”, kerisauan diwajahnya jelas kelihatan.
Sahabat yang terkenal dengan keramahannya. Risau barangkali andai kurang `menjaga`. Selepas sama-sama mendengar tazkirah tentang bab pergaulan, cepat-cepat pesanan di atas diluahkan. Ketika itu juga saya tersedar, sudah tertunaikan tanggungjawabku sebagai teman menegur untuk kebaikan.
Atau diri ini tidak menegur kerana cuba memberikan alasan?
Takut andai sahabat kecil hati.
Sudah pasti sahabat sedar akan kesalahannya.
Hendak menegur? Diri sendiri pun tidak cukup baik.
Bermacam-macam lagi.
Alasan boleh dicari. Tanpa teguran daripada sahabat, diri sendiri yang rugi. Sahabat yang akrab ibarat cermin. Memberitahu kekurangan yang tidak dapat dilihat dengan mata sendiri.
Maafkan aku teman, seringkali aku mengabaikan teguran untuk dirimu memperoleh kebaikan.
Ingatan; Maafkan Aku Teman
“Saya mahu pakai tudung….” ayatnya terhenti.
“Tolong doakan saya”, penuh harap dia memberitahu.
“Kamu tidak doakan saya kan?” sikapnya yang berterus-terang menyedarkan saya.
Berapa ramai daripada kita yang mendoakan sahabat-sahabat agaknya.
Melihatkan sahabat dalam musibah, doakan agar dirinya jauh dari resah.
Melihatkan sahabat hidup kesenangan, doakan agar dirinya tidak lalai mencari kekayaan.
Melihatkan sahabat jauh dari Tuhan, doakan agar dirinya diberikan petunjuk dan kekuatan.
Doa tanda ingatan ketika berjauhan. Kelak masing-masing punya kehidupan sendiri. Mungkin menjadi sukar untuk berhubung bertanya khabar bertukar cerita. Biarlah kenangan bersama teman tetap kekal dihati. Menjadi pengalaman berharga. Belajar daripada mereka.
Maafkan aku teman, andai kadangkala diri ini lupa untuk mendoakan tanda ingatan.
Satukan Hati-hati Kami
Ayat kegemaran ketika doa Rabitah Al-Mathurat.
“Allahuma innaka ta`lam anna hazihil quluub”
“Aminnnn”, ucap teman-teman lain didalam bulatan.
Begitulah rutin dua kali sehari ketika di kolej dahulu. Mengikat jiwa, merapatkan ukhwah. Biar basah dengan ingatan pada Allah. Jauh dari bertelingkah mahupun amarah. Persaudaraan yang indah-indah. Andai merajuk, kembali reda. Andai terasa, dipujuk segera.
Kini, tiada lagi teman-teman untuk mengaminkan doa bersama-sama.
Namun tatkala ayat di atas di baca yang ertinya…
“Sesungguhnya Engkau tahu, bahawa hati ini telah berpadu…”
Wajah teman-teman saya bayangkan satu persatu. Wajah pemilik hati-hati.
Maafkan aku teman andai ada hakmu tidak ditunaikan. Biarpun kini berjauhan, sama-samalah memberi. Menjadi teman yang baik buat insan disekeliling. Ingatan bersama tetap dalam kenangan. Moga pertemuan dan perpisahan kerana Allah ini diberkatiNya.
Kita mungkin jauh, tapi dekat. Allah sebagai pengikat.
Doa Rabitah
  1. lili Said,
    sebak rasanye tika baca post ni. sangat benar kata2 di atas.
    kak zaffan, kalo ada kesempatan, ringan2kanlah tangan ukhti utk berkongsi lebih byk post2 ala2 ni. sangat bermakna dan terkesan. lebih2 lagi kami yg satu kolej ni. syukran jazakillah ukhti
  2. admin Said,
    semoga bermanfaat lili.
    insyaAllah..akan diusahakan..tema ukhwah dan persahabatan..baik untuk peringkat usia remaja selain topik cinta..hehe
    afwan ya ukhti :)

No comments:

Post a Comment